Karya: Ismail Mina Ahmad
Penyunting: Nik Farih Ihsan Pakhruddin
Terbitan: Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
ISBN: 978-967-10988-7-5
Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad, lahir di Mina, Hijaz, Arab Saudi pada 25 November 1948. Beliau dibesarkan di Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad menyempurnakan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur dan menamatkan pengajian tertiarinya di Universiti Malaya.
Ketika beliau di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad bergiat cergas dalam kegiatan mahasiswa dan pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), sebuah pertubuhan yang banyak melahirkan para pemikir dan tokoh negarawan.
Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad adalah antara tokoh gerakan Islam negara yang mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan merupakan ahli penggerak dalam penubuhan Yayasan Anda Akademik pada tahun 1972.
Beliau dan rakan-rakan, bersama menubuhkan institusi dan NGO Islam seperti Dar al-Qur’an wa al-Hadith, Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).
Al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad juga seorang yang aktif menulis dan menerbitkan buku dan makalah berkaitan falsafah Islam, Aqidah, Pemikiran Tradisional Islam dan Ketamadunan Islam. Antara buku terbitan atas hasil usaha beliau yang terkenal ialah Pluralisme Agama: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah yang diterbitkan pada tahun 2012 dan Muhammad Uthman El-Muhammady: Inteligensia Muslim Kontemporari yang diterbitkan pada tahun 2014. Beliau juga turut terlibat dalam membantu penerbitan penulisan guru beliau iaitu Almarhum Ustaz Uthman El-Muhammady rahimahullah antaranya Akhlaq Dalam Islam, Al-Firqah Al-Najiyah: Epistemologi Aqidah Golongan Yang Berjaya, dan Falsafah Agama John Hick: Pengamatan Dari Perspektif Ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Dikenali rakan-rakan beliau mempunyai hubungan akrab dengan beberapa tokoh penting negara sejak di zaman aktivis mahasiswa bersama memimpin pelbagai platform da’wah antaranya al-Fadhil Almarhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil bin Muhammad Noor seorang tokoh politik negara (meninggal dunia pada tahun 2002). Dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penasihat sebuah lagi parti politik yang pada ketika itu bersama al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad memimpin Yayasan Anda Akademik.
Sungguhpun sibuk dengan penerbitan dan makalah ilmiah al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad dilihat antara tokoh rujukan dan tumpuan media massa isu-isu yang membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini. Beliau amat dikenali dengan sikap tegas terutama sekali terhadap ancaman yang melibatkan kepentingan umat Islam seperti pemikiran asing Pluralisme/Liberalisme Agama berdasarkan perspektif pemikiran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah, melalui PERTUBUHAN MUAFAKAT SEJAHTERA MASYARAKAT MALAYSIA (MUAFAKAT).
Antara program yang berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan beliau:
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-1: Gerakan Tajdid Dan Pemikiran Najdiyyin
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-2: Fahaman Pluralisme Agama Dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-3: Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Religio-Politik Semasa Malaysia
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-5: Seminar Mendepani Virus Syi’ah
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-6: Pencerahan Tasawwur Ahli as-Sunnah Wa al-Jama’ah
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-7: Pemerkasaan Mazhab al-Syafi’i
Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-8: Liberalisme: Agenda Jahat Illuminati